RM20j Bantu sektor penternakan ayam
Kementerian Pertanian dan Industri Asas Tani akan memperuntukkan RM20 juta sebagai modal pusingan stok penimbal ayam beku bagi peringkat pertama untuk mengurangkan kebergantungan negara pada import bekalan ayam proses.
Ketua Pengarah Jabatan Perkhidmatan Veterinar (JPV), Datuk Dr Abdul Aziz Jamaluddin, berkata ia juga sebahagian usaha kerajaan untuk menyelamatkan industri penternakan ayam daripada terus menanggung kerugian 20 peratus iaitu RM1 bagi setiap kilogram ayam akibat kos pengeluaran yang tinggi.
Katanya, pada dasarnya Kabinet bersetuju meluluskan peruntukkan itu, namun pihaknya masih menunggu hitam putih kelulusan itu kerana membabitkan Kementerian Kewangan untuk memproses peruntukkan itu dengan segera.
“Sebagai jalan keluar daripada masalah ini, kita bersetuju membantu industri (ternakan ayam) dengan membeli lebihan ayam untuk stok penimbal bagi mengimbangkan harganya di pasaran kerana kos operasi kini terlalu tinggi berbanding harga ladang.
“Ayam bulat yang dibeli ini akan diproses dan diletakkan dalam stok penimbal, apabila berlaku kekurangan bekalan dan ketidaktentuan harga makanan khususnya ketika harganya melambung tinggi pada musim perayaan kita akan keluarkan, namun ia hanya boleh disimpan antara enam bulan sehingga setahun,” katanya ketika dihubungi, semalam.
Ogos lalu, akhbar melaporkan pihak JPV mewujudkan stok penimbal ayam beku yang memerlukan peruntukan RM10 juta untuk memastikan 500,000 ayam beku setiap hari berada dalam stor simpanan sedia ada milik Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (Fama) dan individu yang disewa.
Skim itu dijangka mengatasi masalah kekurangan ayam dan lambakan ayam di pasaran khususnya di beberapa negeri yang sering mengalami masalah bekalan itu seperti di pantai timur Semenanjung, Sabah dan Sarawak.
- Berita Harian
0 comments:
Post a Comment